Berita Semasa

Elak Penularan Wabak Covid-19, Pusat Pemindahan Banjir Hadkan Pengunjung Luar

image

PAPAR: Kemasukan orang luar akan dihadkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membendung sebarang kemungkinan penularan jangkitan wabak Covid-19.

Itu antara langkah yang diambil anggota Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang bertugas di PPS, Dewan Masyarakat Papar yang kini menempatkan 72 mangsa banjir daripada 23 buah keluarga.

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi PKOB Papar, Ghulam Rasul Hapil berkata, bagi membendung penularan jangkitan Covid-19, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menyumbangkan pelitup muka dan pensanitasi tangan untuk semua mangsa banjir yang dipindahkan di situ.

Katanya, ini antara langkah membantu membendung jangkitan wabak yang masih belum berakhir sepenuhnya di Sabah ini.

Mengenai keadaan banjir di Papar, beliau berkata, pemantauan masih dilakukan oleh pasukan penyelamat bagi memberi bantuan kepada mana-mana keluarga yang terperangkap di kawasan rumah.

Dayangku Suhaila (tengah) bersama UPPM Pantai Manis mengagihkan sebahagian barangan keperluan kepada mangsa banjir di Dewan Masyarakat Papar.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Daerah Papar, Dayangku Suhaila Pg Suhaimi berkata, agensi yang bertugas di PPS itu diingatkan supaya mengambil tanggungjawab memastikan keselamatan mangsa banjir yang berada di situ.

Atas sebab itu, kemasukan pengunjung luar dihadkan dan jika mereka ingin masuk, kedatangan mereka perlu direkodkan dan suhu badan juga perlu diambil di pintu masuk dewan.

Selain itu, pemakaian pelitup muka juga dimestikan sekiranya mangsa banjir ingin keluar dari kawasan khemah masing-masing. Disamping itu, pergerakan mereka di PPS juga dihadkan.

Manakala, untuk penghantaran barangan bantuan, ia dihadkan di kawasan luar dewan sahaja.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda