Berita Semasa

Datuk, Bapa & Cucu Lepas Gian MemBeli Nombor Ramalan Selepas Cuti 3 Bulan

image

KOTA KINABALU: Lebih tiga bulan tidak membeli nombor ramalan kerana premis menjual tiket ditutup, tiga beranak melepaskan gian membeli nombor masing-masing selepas kerajaan membenarkan industri itu kembali beroperasi bermula hari ini.

Pengumuman membenarkan industri nombor ramalan beroperasi kembali itu merupakan berita baik yang ditunggu-tunggu tiga beranak tersebut yang tidak melepaskan peluang untuk mencuba nasib.

DAVID LIMJOON

David Limjoon, 45, berkata, dia sangat teruja apabila mengetahui premis menjual nombor ramalan dibenarkan beroperasi kerana sudah menjadi kebiasaan baginya untuk membeli tiket.

“Perasaan sangat-sangat gembiralah kerana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya memang tidak dapat tidur, memang selalu terfikir-fikir kedai jual nombor ini, memang tidak senang hati, memang tidur tidak lena, makan tidak kenyang, sekarang sangat-sangat gembira.

“Memang hari ini melepaskan gian, sudah beli tadi, macam-macam saya beli,” katanya ketika ditemui dalam tinjauan Borneo Today di premis menjual nombor ramalan di Donggongon petang ini.

MARCUS LIMJOON

Turut tidak melepaskan peluang untuk membeli tiket nombor ramalam adalah bapa David sendiri iaitu Marcus Limjoon, 83.

Menurut Marcus, dia merupakan pelanggan setia industri nombor ramalan sejak sekian lama dan akan membelanjakan sehingga RM100 setiap kali melakukan pembelian.

“Senang hati saya,” katanya ketika ditanya mengenai pembukaan semula premis berkenaan.

Sementara itu cucunya, Lawson Lawrensius Aloysius, 26, berkata, sebaik sahaja bangun tidur pagi ini, dia terus merancang untuk membeli nombor ramalan.

Katanya, semasa penutupan kedai nombor sepanjang PKP, kehidupannya agak membosankan kerana membeli nombor ramalan merupakan hiburan untuk dirinya.

LAWSON LAWRENSIUS

“Sebelum ini kehidupan agak membosankan sebab tiada kedai nombor buka, tiada hiburan, kurang hiburan,” jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Borneo Today mendapati semua premis yang mula beroperasi hari ini mematuhi semua prosesur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Para pelanggan diminta beratur dengan jarak satu meter antara satu sama lain, perlu memeriksa suhu dan menulis maklumat peribadi sebelum masuk ke dalam premis.- BorneoToday

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda