Berita Semasa

Polis giat kesan individu yang simbah cat di pejabat aktivis OAS

image

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan individu yang menyimbah cat berwarna kuning di pejabat aktivis yang memperjuangkan hak-hak Orang Asal Sabah (OAS) di Iramanis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya giat menjalankan siasatan rapi bagi mengesan pelaku terbabit selain mengenal pasti motif sebenar perbuatan berkenaan.

“Sebelum ini kita ada menjalankan siasatan sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan bagi kes ini kita sudah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan mendatangkan kerosakan terhadap pintu pagar terbabit.

“Kita sedang cuba mengenalpasti siapa yang menyimbah cat berkenaan dan kemungkinan jika ianya berkait rapat dengan kes sebelumnya (kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan), buat masa ini biar pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, aktivis serta pemilik premis Datuk Verdon Bahanda menyatakan perkara itu dipercayai berkaitan dengan ugutan bunuh beserta nota ‘Verdon Halal di bunu’, gambar pistol dan magazin peluru serta kecaman di media sosial daripada pihak tertentu.-Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda