Berita Semasa

2 juta permohonan baru Diterima BPN

image
SEBANYAK dua juta permohonan baru dan 200,000 permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diterima, setakat ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ada individu tidak tersenarai dan mereka membuat permohonan baru dan rayuan.

“Jika melihat trend (jumlah permohonan baru) masih lagi di dalam bajet fiskal berjumlah RM250 bilion, memang boleh kita berikan.

“BPN diberikan secara berperingkat bagi menolong mereka (rakyat) menguruskan kewangan dengan baik,” katanya dalam rancangan Soal Rakyat terbitan TV3, malam tadi.

Mengulas jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, beliau berkata, jika dilihat pada trend semasa jumlah pembayaran diberikan adalah mencukupi bagi tempoh tiga bulan.

“Tapi kalaulah krisis Covid-19 ini tidak dapat ditangani dalam masa tiga hingga enam bulan, kita mesti mengkaji semula jumlah pembayaran," katanya.

Beliau berkata, suntikan fiskal langsung kerajaan bagi merangsang ekonomi negara kini meningkat kepada RM35 bilion susulan pengumuman bernilai RM10 bilion.

Menurutnya, suntikan berkenaan akan dibiayai menerusi dana kerajaan serta pinjaman domestik.

“Defisit belanjawan negara sebelum ini diunjurkan lebih kurang 4.0 peratus.

“Selepas tambahan RM10 bilion pakej keseluruhan kini berjumlah RM260 bilion yang akan meningkatkan defisit belanjawan sebanyak 0.7 peratus kepada 4.7 peratus," katanya.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda