Berita Semasa

Wanita Dipercayai Dibaham Buaya Belum Ditemui

image

BELURAN: Wanita warga tua yang dipercayai dibaham buaya ketika mandi di Sungai Sugut di Kampung Banang, Paitan, di sini, Rabu lalu, masih belum ditemukan.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Kasim Muda, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini membabitkan jarak empat kilometer ke bahagian ulu dan hilir sungai.

Katanya, operasi hari ini membabitkan anggota polis, Bomba dan Penyelamat selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi dijalankan dengan menggunakan bot menyusuri sungai.

“Setakat jam 5.30 petang hari ini, mangsa masih gagal ditemui,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian petang Rabu lalu, Peredot Kanon, 62, dipercayai mandi bersama anaknya di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah sebelum disambar buaya.

Anak mangsa dipercayai cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada bapanya yang kemudian menghubungi polis.

Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussein Muin, berkata sepasukan kakitangan jabatan diarahkan ke lokasi berkenaan sebaik menerima laporan.

“Untuk tindakan awal, kita memasang pancing untuk mengesan reptilia berkenaan,” katanya.-Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda