Luar Negara

Sebanyak 4 Pengganas Anggota Abu Sayyaf Terbunuh

image

MANILA: Pasukan keselamatan Filipina membunuh empat orang yang disyaki pengganas Abu Sayyaf dalam tembak-menembak di sebuah daerah di ibu negara itu awal pagi ini, lapor agensi berita Xinhua.

Polis berkata, sepasukan tentera dan anggota polis pergi ke daerah di Paranaque City, Metro Manila, pada tengah malam semalam untuk menyampaikan waran tangkap kepada salah seorang suspek atas tuduhan pelanggaran undang-undang pemilikan senjata api dan peluru secara haram.

Bagaimanapun, suspek utama dan isterinya didakwa melepaskan tembakan ke arah pasukan penangkap, hingga mencetuskan kejadian tembak-menembak.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, dijangka menandatangani undang-undang anti-keganasan baharu yang memperkukuhkan usaha negara itu untuk memerangi keganasan domestik.

Undang-undang baharu, versi yang ditingkatkan dari undang-undang kontra-keganasan tahun 2007, dibuat ‘untuk menangani dan secara efektif mengekang tindakan pengganas untuk menjaga keamanan negara,’ menurut surat Duterte bertarikh 1 Jun 2020, menggesa Dewan Rakyat supaya bertindak segera terhadap rang undang-undang (RUU) itu.

Dewan Perwakilan negara dan Senat telah meluluskan RUU itu, dan kini menunggu tanda tangan Duterte.

Ketua Angkatan Bersenjata Filipina, Jeneral Felimon Santos, mengeluarkan satu kenyataan hari ini, mendesak Duterte supaya ‘mempercepatkan menandatangani RUU anti-keganasan supaya ia dapat segera dilaksanakan’ berikutan ‘kehadiran tidak diingini pengganas Abu Sayyaf di Metro Manila.”

Santos berkata, insiden penembakan itu ‘semakin menyerlahkan’ perlunya undang-undang baharu.

“Ia adalah berkenaan keselamatan awam dan kesejahteraan umum yang dipertaruhkan. Kita harus melindungi dan mempertahankan rakyat Filipina dari pengganas,” tambahnya.

Kumpulan Abu Sayyaf yang dianggarkan memiliki 400 pejuang, dianggap kumpulan pelampau terkecil tetapi paling ganas di selatan Filipina serta aktif di wilayah pulau Sulu dan Basilan yang miskin.

Mereka bertanggung jawab atas siri penculikan, pengeboman mati, serangan terhadap anggota keselamatan, pemenggalan awam, pembunuhan dan pemerasan di wilayah Mindanao. – BERNAMA

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda