Sukan

SEORANG SKUAD TAMBADAU NEGATIF COVID-19

image

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk kembali berlatih di padang selepas ujian swab yang dijalankan terhadap pemain dan pegawai pasukan itu kesemuanya disahkan negatif.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon ketika dihubungi, kelmarin, berkata keputusan ujian swab yang disahkan oleh pihak kesihatan berkenaan telah dihantar kepada MFL dan kini mereka hanya menunggu respon daripada penganjur Liga Malaysia itu.

“Syukur semuanya negatif (keputusan ujian swab) dan kini kami hanya tinggal menunggu kebenaran daripada pihak MFL untuk memulakan latihan.

“Dapat kembali semula ke padang untuk berlatih dalam masa terdekat ini memang satu berita baik dan pihak pengurusan juga akan pastikan latihan nanti akan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan MFL serta KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya lagi.

Henry berkata, dapat kembali berlatih di padang juga satu perkembangan baik dalam persiapan skuad Tambadau untuk mengharungi saingan Liga Super yang dijangka bersambung semula September depan.

“Berlatih di rumah atau di kawasan awam dengan berlatih di padang memang berbeza, kita harapkan tahap kecergasan pemain akan lebih meningkat selepas ini.

“Saya percaya pengendali pasukan iaitu Kurniawan (Dwi Yulianto) bersama barisan kejurulatihan yang lain mempunyai cara mereka sendiri untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan walaupun keadaan latihan nanti sedikit berbeza,” katanya lagi. –http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda