Politik

JANGAN JADI PAK TURUT JEFFREY, MAXIMUS : JAKE

image

KOTA KINABALU: Ketua Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Keningau, Datuk Jake Nointin berkata, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili tidak harus menjadi ‘pak turut’ dengan menghalalkan apa jua keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, sebagai pemimpin Kadazan Dusun dan Murut (KDM), Jeffrey dan Maximus sepatutnya mempertahankan rakyat Sabah dan menentang apa-apa usaha menghalalkan kehadiran warga asing di Sabah.

“Mereka (Jeffrey dan Maximus) tidak menjadi pak turut yang menghalalkan apa sahaja cadangan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun bakal mengancam keselamatan rakyat Sabah.

“Ini kerana, seolah-olah wujud satu gerakan untuk menghalalkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah terutama pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci dengan memberikan mereka IMM13,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jake berkata, dokumen IMM13 adalah untuk pelarian sahaja kerana membolehkan para pemegang dokumen diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menetap di negeri Sabah dengan pelbagai keistimewaan.

“Kad Burung-burung dan Kad Banci pula hanya dianggap sebagai rekod dan tidak pernah diiktiraf sebagai dokumen perjalanan yang sah.

“Malah pemegang Kad Burung-burung dan Kad Banci dikategorikan sebagai pendatang haram yang boleh ditangkap oleh polis sekiranya didapati memasuki negeri Sabah tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, jika pemberian IMM13 berlaku seperti yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan, status PATI akan ditukar kepada status pelarian perang.

“Saya ibaratkan rancangan Kerajaan Persekutuan ini sebagai langkah pintu belakang untuk mengiktiraf dan menghalalkan keberadaan PATI di Sabah.

“PATI yang diberi IMM13 ini bakal mempunyai hak istimewa dan lebih parahnya menjadi warganegara Malaysia,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Jeffrey dan Maximus agar tidak terlalu ghairah menyokong cadangan pemberian IMM13 demi rakyat Sabah.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda