Jenayah

Pandu Melulu, Seorang Lelaki Dipenjara 6 Bulan & Denda RM5,000

image

TAWAU: Seorang lelaki dipenjara enam bulan dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah memandu secara melulu di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh Tamring Ismail, 43, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Merotai-Bombalai, dalam daerah Tawau, pada 18 Jun 2020, pukul 7.50 malam.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, Tamring didakwa menunggang secara melulu dan merbahaya dengan memotong konvoi tiga buah kemderaan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sepanjang lapan kilometer dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka ke Taman Semarak.

Tertuduh juga diberi amaran sebanyak empat kali oleh anggota PGA, namun tidak diendahkannya dan terus memandu menyelinap antara konvoi kenderaan pasukan keselamatan itu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula hari ini.

Selain itu, tertuduh juga dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Borneo Today sebelum ini melaporkan ketika kejadian, sekumpulan 11 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menaiki tiga kenderaan dalam perjalanan dari Ibu Pejabat PGA Briged Sabah menuju ke Batalion 14 PGA Tawau.

Sebaik tiba di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka, sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki (tertuduh) ditunggang secara melulu dan menyelit pada konvoi kenderaan PGA.

Tertuduh juga dikatakan menunjukkan isyarat jari tengah kepada semua anggota PGA berkenaan menyebabkan mereka mengejar dan berjaya memintas motosikal suspek.- BorneoToday

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda