Jenayah

Suami Isteri Ditahan Polis Miliki 5.92 Gram Syabu

image

SIPITANG: Sepasang suami isteri ditahan selepas didapati memiliki dadah dalam operasi di Kampung Batu 7, Pantai Luagan, Sindumin, di sini, Rabu lalu.

Dalam operasi jam 1.50 petang itu, pasukan polis yang melakukan serbuan mendapati pasangan berkenaan memiliki 5.92 gram dadah dipercayai jenis Syabu.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya menahan seorang perempuan dan seorang lelaki tempatan berusia 40-an.

Katanya, hasil pemeriksaan di bilik tidur pasangan berkenaan, polis menemui satu beg galas berwarna hitam bertulis “NUCCI DE CLUB”.

“Pemeriksaan di dalam beg galas berkenaan membawa kepada penemuan satu paket plastik berisi tiga keratan plastik lutsinar yang masing-masing berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis Syabu.

“Pasangan suami isteri itu mengaku dadah syabu berkenaan dibeli dengan harga RM400 dan ia hanya untuk kegunaan mereka,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Champin berkata, hasil ujian saringan awal yang dijalankan terhadap pasangan suami isteri itu juga didapati positif jenis Metaphetamine dan Amphetamine.

Katanya, siasatan mendapati suami berkenaan mempunyai turut rekod lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (2 kes) dan Sek. 15(1)(a) akta sama.

“Bagi kes ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Champin memberitahu pasangan berkenaan sudah dituduh di mahkamah hari ini dan berdepan hukuman dua tahun penjara.

Sementara itu, Champin menasihati warga Sipitang supaya menjauhi gejala dadah yang bukan saja membinasakan diri tetapi juga menghancurkan institusi kekeluargaan.

“Mohon juga kepada warga daerah ini supaya menyalurkan maklumat jenayah dadah kepada pihak polis dalam usaha menjadikan Sipitang bebas dadah Syabu,” katanya.- AsiaTimes

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda