Berita Semasa

Aspek Keselamatan Di Jalan Raya Papar Lama Akan Dipertingkatkan – Pengarah JKR

image

KOTA KINABALU: Langkah meningkatkan aspek keselamatan di sepanjang Jalan Papar Lama dimana Lebuh Raya Pan Borneo sedang dalam pembinaan akan dilakukan bagi mengelakkan lebih ramai nyawa terkorban.

Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Richard Jomiji berkata, pihaknya sedang merancang untuk meningkatkan sistem pengurusan trafik di sepanjang laluan berhampiran Kawang yang kini telah meragut lima nyawa pengguna jalan raya.

Beliau berkata, jalan raya ini masih dalam pembinaan dan papan tanda had laju 50km/j juga telah diletakkan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi had laju ditetapkan.

Gambar ehsan pengguna Facebook

“Oleh itu, laluan ini tidak boleh digunakan seperti jalan yang sudah siap sepenuhnya. Jika dilihat, ada sesetengah pengguna masih memandu melebihi had laju apabila menggunakan jalan terbabit,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan kerja-kerja pembinaan masih dijalankan, laluan dua lorong diubah menjadi satu lorong. Keadaan itu yang mungkin mengelirukan pengguna jalan raya, terutama pengguna yang tidak biasa melalui jalan tersebut.

Atas sebab itu, selain meletakkan lebih banyak papan tanda, pihak JKR juga sedang melihat kepada usaha mengubah tanda jalan secara sementara bagi membolehkan pengguna mengetahui perubahan laluan yang dibuat.

Gambar ehsan pengguna Facebook.

Untuk itu, pihaknya melalui kontraktor dilantik akan meletakkan tanda jalan warna kuning sebagai indikasi bahawa laluan itu kini hanya satu lorong.

Mengenai pemasangan lampu jalan, Richard berkata, lampu jalan berada di luar bidang kuasa JKR namun, kebiasaannya lampu jalan akan dipasang pada fasa terakhir pembinaan jalan.

Bagaimanapun, sekiranya ada lebihan kewangan, JKR akan cuba melihat kepada usaha memasang lampu jalan di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan mematuhi papan tanda yang diletakkan apabila melalui jalan raya tersebut.

Gambar ehsan pengguna Facebook.

Katanya, orang ramai kena faham, jalan raya berkenaan belum siap sepenuhnya jadi perubahan laluan akan sentiasa berlaku.

Lima nyawa terkorban dalam tiga kemalangan berasingan yang berlaku di Jalan Papar Lama pada bulan ini sahaja. Kemalangan terbaharu adalah pada 19 Jun lalu yang mengorbankan tiga nyawa pengguna jalan raya.

Sejak Disember tahun lalu sehingga hari ini, tujuh kematian dilaporkan di sepanjang KM 16 hingga KM 22 Jalan Papar Lama.-sabahnewskini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda