Jenayah

PRN Mohon Bantu Siasat Kematian Gajah Akibat Diracun Di Sabah

image

TAWAU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menjalin kerjasama erat dengan Pusat Racun Negara (PRN) dalam melakukan siasatan terperinci berhubung kematian beberapa gajah Pygmy Borneo akibat keracunan.

Timbalan Pengarah JHL Sabah Dr Sen Nathan berkata, melalui kerjasama itu, satu siasatan penuh akan dikeluarkan sekali gus merungkai sumber racun berkenaan.

DR SEN

“Ada banyak kemungkinan sumber racun tersebut iaitu dari tumbuhan, buah, atau sektor perladangan termasuk sama ada sengaja atau tidak (diracun).

“Dalam tempoh 10 tahun ini, 150 kematian membabitkan gajah Pygmy Borneo berlaku dan dianggarkan 1/3 daripadanya atau sekitar 50 hingga 60 ekor mati akibat keracunan,” katanya ketika ditemui wartawan, semalam.

Tambah Sen, jumlah itu adalah tinggi menyebabkan keperluan kajian secara holistik bagi mengetahui sumber racun yang menyebabkan kematian haiwan dilindungi itu.

Berhubung kebimbangan segelintir pihak mengenai translokasi gajah Pygmy Borneo di  Hutan Simpan Gunung Rara berikutan pernah dilaporkan berlaku kematian haiwan berkenaan akibat keracunan di situ, Sen berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara tersebut.

“Ketika ini, mana-mana tempat sekali pun tetap mendedahkan gajah ini kepada kematian.

“Justeru, pemasangan kolar satelit seperti yang dilakukan kepada Umas sebelum dilepaskan di hutan simpan tersebut, sebenarnya membantu mengesan pergerakan haiwan berkenaan termasuk lokasi sebelum kematiannya,” katanya.

Menurut Sen, jika haiwan yang dipasang kolar ditemui mati terutamanya akibat keracunan,  JHL akan mengetahui lokasi sebenar gajah tersebut memperolehi racun.

“Berdasarkan kajian lapangan yang dilakukan 12 tahun lalu, populasi gajah Pygmy Borneo dianggarkan lebih 2,000 ekor yang mana 600 daripadanya berada di Hutan Simpan Gunung Rara.

“Dalam masa sama, satu kajian lapangan baharu berkaitan habitat gajah dijangka dilakukan bermula Ogos ini bagi mengetahui punca dan kaedah mengurangkan konflik antara haiwan itu dengan manusia,” katanya.

Pada Januari 2013, seekor anak gajah Pygmy Borneo berusia tiga tahun dikesan menggerakkan ibunya yang mati akibat keracunan di Hutan Simpan Gunung Rara.

Aksi itu disaksikan sendiri pegawai JHL termasuk Sen ketika melakukan siasatan berhubung kematian misteri 10 haiwan dari spesis yang sama di Unit Pengurusan Hutan (FMU) 23, kawasan konsesi Yayasan Sabah, kira-kira 130 kilometer dari Tawau.

Pada 8 April lalu, seekor anak gajah Pygmy Borneo dianggarkan berumur lima hingga 10 tahun, ditemui mati berhampiran Hutan Simpan Malua, Lahad Datu, juga dipercayai akibat keracunan.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda