Politik

Semua Ahli politik Sabah digesa berhenti berbalah mengenai IMM13

image

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan meminta pemimpin gabungan kerajaan di negeri itu menghentikan perbalahan berkait cadangan IMM13 dengan berkata, isu itu kini dipolitikkan.

Presiden STAR itu berkata, perbalahan mengenai perkara itu tidak membawa apa-apa manfaat kerana rancangan Putrajaya berhubung isu itu masih di peringkat cadangan dan pandangan semua pihak akan dipertimbangkan.

Beliau juga berkata, isu pendatang tanpa izin di Sabah haruslah melampaui perkiraan politik kerana semua pihak di negeri itu mahu masalah tersebut diatasi secara menyeluruh dan muktamad.

Kitingan juga berkata, beliau tertanya-tanya kenapa ramai pemimpin Sabah menjadikan dirinya sasaran berhubung isu yang sepatutnya ditangani oleh Kementerian Dalam Negeri.

Selain itu katanya, pemimpin politik Sabah juga harus menghormatinya berhubung isu itu kerana beliau menyokong usaha kerajaan pimpinan Warisan mendapatkan semula hak negeri.

Oleh sebab rancangan IMM13 masih di peringkat cadangan, maka semua pihak boleh berkongsi pandangan dan mencadangkan penyelesaian kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kitingan menjadi tumpuan serangan daripada parti kerajaan negeri kerana beliau lantang bersuara berhubung isu migran, Perjanjian Malaysia 1963 dan menentang pelaksanaan Pas Sementara Sabah yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Beliau berkata, kini masa sesuai untuk kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu kerana negara pada masa ini dipimpin oleh perdana menteri baru yang kepimpinannya masih segar.

Sabah menghadapi banyak masalah di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad yang dilihat oleh banyak pihak sebagai individu di sebalik Projek IC, iaitu satu sindiket untuk memberi kad pengenalan kepada migran.

Kitingan berkata, beliau tidak yakin dengan presiden PKR Anwar Ibrahim, selain menambah walaupun kerajaan Najib Razak boleh menyelesaikan banyak masalah di Sabah, namun ia tidak berlaku.-Fmt

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda