Politik

Sebanyak 2,000 Ahli PKR Cabang Kalabakan Keluar Parti

image

TAWAU: Kira-kira 2,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kalabakan dari pelbagai jawatan mengisytiharkan keluar parti, di sini, hari ini.

Kumpulan yang diwakili Timbalan Ketua Cabang Kalabakan, Mohd. Jailani Chaco itu mendakwa, keputusan tersebut diambil selepas mereka hilang kepercayaan kepada parti berkenaan yang disifatkan tersasar jauh dari landasan perjuangan melakukan reformasi membela nasib rakyat.

Mohd. Jailani berkata, sepanjang 22 bulan menjadi pemerintah menyaksikan pemimpin tertinggi di Pusat kerap mempersoalkan isu peralihan kuasa berbanding masalah rakyat.

“Malah sehingga hari ini, mereka masih lagi berebut jawatan Perdana Menteri antara Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan Datuk Seri Anwar (Anwar Ibrahim).

“Sampai bila perkara ini berterusan sekali gus menyebabkan kita gagal menguruskan negara pada masa akan datang,” katanya kepada media.

Tambahnya, tindakan keluar parti itu adalah atas kerelaan sendiri tanpa paksaan pihak ketiga, selepas melihat pucuk pimpinan PKR hanya mementingkan agenda peribadi dan kelompok tertentu sahaja.

“Selain itu, ia sebagai tanda solidariti dan kebersamaan kami kepada mantan Ketua AMK Kalabakan, Asis Bakri yang dipecat tanpa alasan kukuh, April lalu,” katanya.

Sementara itu, bekas Setiausaha PKR Cabang Kalabakan Samsir Bakri berkata, tindakan keluar parti itu tidak akan menjadi noktah kepada mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Kami akan bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan memberi sokongan kepada Datuk Seri Azmin Ali serta mantan pemimpin PKR lain yang kini berada di blok kerajaan Pakatan Nasional (PN),” katanya.-Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda