Jenayah

Padah Tunjuk Jari Tengah Kepada Polis, Seorang Lelaki Ditahan Positif Syabu

image

TAWAU: Padah menunjukkan jari tengah kepada sekumpulan polis yang sedang berkonvoi membawa senjata, seorang lelaki ditahan di Jalan Kuhara berhampiran Taman Semarak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, suspek, 42, ditahan ketika menaiki sebuah motosikal dari arah Kalabakan menuju ke Kampung Ranggu.

Terdahulu, sekumpulan 11 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menaiki tiga kenderaan dalam perjalanan dari Ibu Pejabat PGA Briget Sabah menuju ke Batalion 14 PGA Tawau.

Sebaik tiba di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka, sebuah motosikal yang dinaiki suspek ditunggang secara melulu dan menyelit pada kenderaan PGA.

Suspek juga dikatakan menunjukkan isyarat jari tengah kepada semua anggota PGA berkenaan menyebabkan mereka mengejar dan berjaya memintas motosikal suspek.

Difahamkan suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Ujian air kencing yang dilakukan menunjukkan kandungan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Sehubungan itu, suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya.-Sabahnewskini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda