Politik

Laporan RCI MeNyatakan Pemegang IMM13 Diberi Penduduk Tetap

image

KOTA KINABALU: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Berkaitan Pendatang Asing Di Sabah 2014 menyatakan golongan pelarian yang memegang IMM13 telah diberikan taraf kerakyatan Penduduk Tetap atas arahan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Laporan di muka surat 277 dan 278 itu menunjukkan golongan yang diberikan taraf kerakyatan dikenali sebagai  Pelarian Islam Filipina (PIF) yang terdiri daripada tiga kategori iaitu pemegang IMM13, menetap di Malaysia antara 15 hingga 19 tahun serta melepasi tapisan keselamatan dan fasih berbahasa Melayu.

“Ternyata terdapat suatu arahan daripada KDN berkenaan dengan pengeluaran taraf penduduk tetap kepada pelarian.

“Permohonan permit masuk ini diuruskan oleh Unit Permit Masuk Jabatan Imigresen Malaysia dan dihantar terus ke Kementerian Dalam Negeri,” kata laporan itu.

Laporan RCI itu dikeluarkan oleh barisan pesuruhjaya kehakiman dipengerusikan Tan Sri Datuk Amar Steve Shim Lip Kiong dan dianggotai Tan Sri Herman J. Luping, Datuk K.Y. Mustafa, Datuk Seri Panglima Prof. Dr. Kamaruzaman Ampon dan Datuk Henry Chin Pou Wu.

Antara pemimpin yang terlibat dalam penghasilan laporan RCI itu adalah bekas-bekas Ketua Menteri iaitu Tan Sri Harris Mohd. Salleh, Tan Sri Bernard Dompok dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Turut terlibat antara lain adalah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP).

Laporan RCI itu menyatakan bagaimana Kerajaan Malaysia telah mengguna pakai beberapa polisi terhadap PIF iaitu bagi PIF yang telah tinggal lebih daripada 15 tahun boleh memohon permit masuk dan selepas permit masuk diluluskan, mereka akan diberikan taraf Penduduk Tetap.

Dokumen setebal 427 muka surat itu turut secara jelas menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Pasukan Petugas Khas Persekutuan (FSTF) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengambil alih pengurusan warga asing daripada kerajaan negeri pada tahun 1989.

Berdasarkan laporan itu, sejak Kerajaan Persekutuan mengambil alih bermulalah pemberian beberapa ‘keistimewaan’ kepada golongan warga asing berkenaan daripada asalnya sebagai pelarian perang sehingga memperoleh IMM13 dan akhirnya Penduduk Tetap.

“Walau bagaimanapun, pada tahun 1989, pengurusan, peranan dan tugas telah diambil alih oleh FSTF di bawah MKN mengikut Arahan MKN Bil. 16,” kata laporan itu.

Keistimewaan itu adalah:

a) Pengecualian Akta Pasport 1966 iaitu Perintah Pasport(Pengecualian) (No.2) Pindaan 1972

b) Dokumen-dokumen yang dikeluarkan kepada PIF adalah Kad Jabatan Ketua Menteri, Sijil Banci dan IMM13

c) Boleh tinggal dan bekerja di Sabah dan Labuan

d) Tidak boleh diusir tanpa kerelaan kecuali terlibat dengan jenayah.

baca lagi :
https://www.sabahnewskini.com/v/19/politik/article/824/Penyeragaman-IMM13-Dapat-Kumpul-Data-Biometrik

https://www.sabahnewskini.com/v/19/politik/article/798/Pemberian-IMM13-Bermanfaat-Untuk-Sabah--Kata-Jeffrey

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda