Politik

Ma’mun Tegas Tetap Sokongan Kepada KM Sabah

image

TAWAU : Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman menegaskan tetap bersama kepimpinan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam usaha terus membela nasib rakyat.

Beliau yang ditemui wartawan mengaku mendengar khabar angin bahawa dia antara wakil rakyat yang cuba dibeli pihak lawan untuk melompat parti disebabkan rekod bersih dalam politik.

“Saya hanya orang baharu sebagai wakil rakyat dan memang ada beberapa individu menemui saya berhubung kait isu lompat parti.

“Namun, ia tidak sedikit pun membuatkan saya tergerak hati untuk berpaling tadah (lompat parti),” katanya.

Menurut Ma’mun, gerakan pihak tertentu untuk membeli wakil rakyat seperti yang dicanangkan adalah usaha untuk memperkukuhkan parti Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang.

“Tiada wakil rakyat parti Warisan yang terpengaruh dan kami tetap berdiri teguh bersama kepimpinan Ketua Menteri Sabah.

“Walaupun di peringkat Persekutuan, kami berada di blok pembangkang, namun semangat kesatuan antara pemimpin perlu terus diperkukuh bagi memastikan suara kuat di Parlimen dalam memastikan agenda membantu rakyat dapat ditunaikan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan 200 karton air mineral dan wang tunai kepada mangsa kebakaran Lorong Haji Sundu, di pusat penempatan sementara Batu 2, Jalan Apas, hari ini.-Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda