Berita Semasa

PENJENAMAAN SEMULA UPKO TARIK MINAT PELBAGAI KAUM DI SABAH

image

KOTA KINABALU:Penjenamaan semula Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah menarik minat rakyat berbilang kaum di Sabah, kata Presidennya Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata ia terbukti dengan kemasukan 424 ahli baharu daripada rakyat pelbagai kaum di Sabah termasuk Bajau dan Cina.

“Hari ini kita menerima borang keahlian daripada beberapa pemimpin parti dan pertubuhan etnik yang ada di Sabah,” katanya dalam sidang media selepas menerima borang keahlian berkenaan di sini, hari ini.

Sebanyak 200 orang yang menyertai UPKO adalah daripada lima cawangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mengkabong, 30 orang dari PDM Nongkolud, PDM Penimbawan (100), PDM Gayang (30 orang), PDM Baru-Baru seramai 60 orang dan kesemua mereka daripada kawasan Parlimen Tuaran.

Empat lagi individu yang lain ialah bekas Calon Parti Anak Negeri sabah di kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Kapor, Thomas Tsen Chau Yin, bekas ahli PBS Lee Thien Fook, Presiden Pertubuhan Budaya Seni Etnik Samah Sabah Ismail Yusuf dan Setiausaha Perhubungan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) Negeri Sabah, Shamiun Salleh.

Thomas Tsen berkata tindakan untuk memyertai UPKO adalah didorong oleh hala tuju terkini perti berkenaan selepas penjenamaan semula baru-baru ini.

“Saya tertarik dengan hala tuju UPKO kearah memperkasakan semua kaum dan etinik yang ada di Sabah. Ia adalah sesuatu yang baik demi perpaduan pelbagai kaum yang ada di negeri ini,” katanya.

Pada 7 Jun lepas UPKO yang dulunya dikenali sebagai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu telah dijenamakan semula merangkumi inti pati nama, logo dan bendera baharu.

Penjenamaan semula itu menjurus kepada politik pembangunan iaitu satu gagasan perjuangan bercirikan global dan inklusif yang juga satu penghijrahan daripada politik perkauman kepada politik aspirasi rakyat berbilang kaum.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda