Kesihatan

Jangan sewenang-wenangnya ambil dexamethasone - Dr Noor Hisham

image

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil ubat jenis dexamethasone sewenang-wenangnya tanpa preskripsi daripada doktor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, ubat jenis steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang dalam pelbagai penyakit itu mempunyai kesan sampingan dan komplikasi tertentu.

Katanya, steroid itu hanya sesuai digunakan untuk pesakit COVID-19 di kategori empat atau lima.

"Saya ingin menyeru orang ramai supaya berwaspada agar tidak menyalahgunakan atau mengambil ubat dexamethasone tanpa preskripsi daripada doktor.

"Ini kerana ubat ini juga mempunyai kesan sampingan dan perlu diimbangi dengan keperluan penggunaan ubat ini bagi penyakit-penyakit tertentu," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, hasil dapatan awal recovery trial menunjukkan ubat tersebut dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala pernafasan yang serius, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.
Meskipun begitu katanya, ujian klinikal itu mendapati ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit COVID-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Baru-baru ini, kumpulan penyelidik yang diketuai pasukan dari Universiti Oxford itu menilai keberkesanan ubat berkenaan yang diberikan kepada lebih 2,000 pesakit COVID-19 yang tenat.

Hasilnya, steroid jenis dexamethasone itu dipercayai membantu menyelamatkan satu pertiga daripada kes COVID-19 paling serius, berdasarkan keputusan percubaan yang dianggap sebagai penemuan terbesar dalam usaha memerangi wabak berkenaan.

Kumpulan itu mendapati, pemberian dexamethasone kepada pesakit yang hanya boleh bernafas dengan bantuan ventilator didapati mampu mengurangkan risiko kematian kepada 35 peratus dan mereka yang menerima bantuan oksigen pula, kadar kematian dapat dikurangkan kepada satu perlima. 

Malah, mereka juga mendakwa dexamethasone adalah ubat pertama yang berjaya membuahkan hasil dalam menyelamatkan pesakit COVID-19 setakat ini.-astro awani

baca artikel terdahulu :
https://www.sabahnewskini.com/v/17/luar-negara/article/801/Saintis-UK-Mendakwa-temui-penawar--berjaya-kurangkan-risiko-kematian-akibat-COVID-19
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda