Berita Semasa

LPKP Perlu Kemas Kini Harga Tambang Bas Terkini

image

SANDAKAN: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) diminta mengemas kini harga tambang bas yang perlu dikenakan di daerah ini mengikut piawaian harga semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, berkata harga tambang bas di daerah ini masih mengikut piawaian pada tahun 2009, sekali gus menjadi rungutan pengusaha bas.

Selain itu, katanya, pengusaha bas juga mahu agar permit kenderaan boleh diperbaharui bagi kenderaan berusia sehingga 30 tahun.

“Memandangkan harga bas dan situasi ekonomi yang kurang rancak, agak sukar untuk pengusaha membeli kenderaan baharu.

“Tambahan lagi, kenderaan yang hampir mencecah 30 tahun masih berada dalam keadaan baik,” katanya selepas perjumpaan bersama LPKP Sandakan yang dipengerusikan Pengerusi LPKP, Datuk Chin Kim Hiung, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Bas Henti-Henti Sandakan, Mohd Harun Ramli.

Ket Kiun turut meminta agar LPKP bertindak lebih tegas terhadap pemandu yang tidak mengikut protokol ketika berurusan dengan LPKP bagi mengelak kekeliruan antara Persatuan Bas Henti-henti Sandakan dengan LPKP.

Katanya, LPKP juga harus meneliti semula bantuan Covid-19 daripada kerajaan negeri berjumlah RM300 untuk pemandu bas golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Kira-kira 70 peratus pemandu bas daripada golongan ini belum menerima bantuan.

“Pemandu bas juga berharap agar turut diberikan bantuan one-off RM600 seperti yang diterima pemandu teksi bermula hari ini,” katanya-SABAH NEWS KINI

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda