Politik

DAP Sabah Tetap Akan Sokong Shafie – Poon

image

KOTA KINABALU: DAP Sabah akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kata pengerusi parti itu, Datuk Frankie Poon.

“Terlalu banyak spekulasi dan isu-isu yang ditimbulkan mengenai keadaan politik di negeri ini, yang saya rasa tidak pun wujud,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tiada sebab untuk menukar kerajaan yang ada sekarang kerana Sabah mempunyai Ketua Menteri yang terbaik, di mana beliau akan berjuang terus menerus tanpa penat demi untuk kepentingan rakyat Sabah.

Menurut Menteri Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat ini, ketika tempoh pemerintahan Pakatan Harapan pun, beliau (Shafie) sentiasa cuba menyelesaikan semua masalah dan berjuang tanpa putus asa.

“Apa saja yang dipersembahkan kepadanya atau apa yang diminta darinya oleh Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri ketika itu, semuanya adalah untuk kepentingan masa panjang penduduk Sabah dan inilah jenis ketua menteri yang kita mahu” tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat ini berkata demikian ketika menerima bantuan perubatan daripada Ma Zhong Friendship Association Sabah, bagi pihak kementeriannya.

Menteri itu berkata, kerajaan yang diterajui Warisan masih teguh walaupun dua ahli DUN meninggalkan parti untuk menjadi Adun bebas. Dua Adun itu ialah dari Kuala Penyu Datuk Limus Jury dan Adun Sugut Datuk James Ratib.

Mereka mengumumkan tindakan meninggalkan parti Upko untuk menjadi wakil negeri bebas dengan alasan tidak lagi percaya dengan kepimpinan parti Upko. Sebelum itu, mereka berdua tidak hadir dalam mesyuarat solidariti dengan Ketua Menteri pada minggu lalu.

Seorang lagi Adun dari Elopura, Calvin Chong daripada Parti DAP turut tidak hadir dalam pertemuan itu. Bagaimanapun, Poon menjelaskan ketidak hadirannya disebabkan tiada penerbangan dari Sandakan ke Kota Kinabalu.

“Pertemuan itu diadakan pada saat akhir dan dia memberitahu kami yang dia mahu datang tetapi tidak dapat tiket untuk terbang. Dia memaklumkan perkara ini sehari sebelum itu.”

“Tetapi dia masih bersama dengan kami…saya juga belum mendengar mana-mana Adun DAP yang mahu melompat parti,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa parti itu masih teguh dalam perjuangannya untuk sama-sama membantu kerajaan negeri demi untuk kepentingan rakyat Sabah.- Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda