Jenayah

SEORANG WARGA EMAS MAUT DIPERCAYAI DIPUKUL OLEH ANAKNYA

image

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga tua maut selepas dipercayai dibunuh oleh anaknya sendiri dalam kejadian di Kampung Ulu Teburi, Tungku, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Tasalai Kuyoh, 62, ditemui maut di kawasan lereng bukit iaitu 50 meter dari rumahnya, kira-kira jam 8 pagi.

Dalam kejadian itu, suspek yang dikatakan tidur di rumah keluarga isterinya dikejutkan oleh mangsa yang mahu suspek datang ke rumah untuk membuat kerja.

Sebaik tiba di rumah mangsa, suspek mendapati bapanya sedang meminum minuman keras dan berlaku pertengkaran antara dua beranak itu.

Mangsa dipercayai mengambil parang dan melibas senjata itu sambil mengejar suspek menyebabkan suspek lari dan dikatakan mengambil sebatang besi kelapa sawit untuk mempertahankan diri.

Suspek dipercayai memukul bapanya beberapa kali kerana mangsa masih mengejar dan melibaskan parang ke arahnya, sebelum mangsa terjatuh ke kawasan lereng bukit berhampiran.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata selepas panik dengan keadaan itu, suspek melarikan diri ke rumah keluarga isterinya dan menceritakan perkara yang berlaku terhadap bapanya.

Katanya, suspek kemudian ditahan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis pada jam 2 petang, semalam.

“Kita merampas beberapa barang milik suspek termasuk sebatang besi berukuran 61 sentimeter dan telefon bimbit.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan akibat tikaman benda tajam pada tangan, dagu dan kepala. Polis turut menemui sebilah parang berhampiran mayat mangsa,” katanya di sini, hari ini.

Nasri berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mendakwa mangsa sering memarahinya termasuk memaki apabila mabuk.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat termasuk menjalani ujian Covid-19.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-Sabah News kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda