Politik

UPKO LEBIH BESAR DARIPADA INDIVIDU : EWON

image

KOTA KINABALU: Naib Presiden Upko, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa parti Upko lebih besar daripada mana-mana pemimpin atau individu di dalam parti.

“Sebagai adik bongsu dalam kepimpinan kanan parti Upko, memang saya akui mana-mana perletakan jawatan atau pemergian rakan pimpinan pastinya akan meninggalkan kesan. Tetapi parti ini lebih besar daripada mana-mana individu di dalam parti.

“Mereka yang meninggalkan parti menyatakan hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan. Tetapi saya berpendapat, mana-mana pemimpin kanan harus menjadi sebahagian daripada halatuju parti. Presiden adalah kapten, tetapi kita semua adalah ahli pasukan dan berhak mempersembahkan kepada ahli-ahli atau rakyat bagaimana parti ini boleh menjadi platform kepimpinan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perletakan jawatan ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut Datuk James Ratib daripada Upko kelmarin.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, perbezaan pendapat adalah sesuatu yang normal dalam mana-mana organisasi kepimpinan.

“Saya juga pernah menyatakan pandangan yang agak unik dan berbeza daripada kepimpinan kanan, tetapi saya tidak pernah meninggalkan parti. Sebaliknya saya cuba berusaha mencetuskan keunikan pelayanan tersendiri sesuai dengan objektif parti Upko. Kita sentiasa boleh menguruskan perbezaan pendapat melalui parti,” katanya.

Adun Kadamaian itu berkata, dalam kepimpinannya sendiri samada dalam Pergerakan Komulakan atau Bahagian Upko Kota Belud selama ini, beliau amat menghargai perbezaan pandangan yang dikemukakan oleh rakan-rakan pimpinan.

“Tiada yang sempurna kerana kepimpinan adalah sesuatu yang dinamik dan merupakan pembelajaran sepanjang masa,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kedua-dua Adun tersebut sepanjang bersama-sama di dalam parti Upko.

“Saya akan terus kekal bersama Upko kerana parti ini umpama rumah bagi saya. Di sebalik semua kekurangan, saya percaya sentiasa ada ruang untuk memperbaikinya. Saya juga bersedia memainkan peranan yang lebih besar untuk membina semula parti ini bersama-sama dengan yang lain.

“Semasa kita memulakan Pergerakan Komulakan dahulu, ia bermula daripada kosong. Saya yakin semangat itu sentiasa kekal dan kita tiup semula semangat itu untuk memulihkan parti,” katanya.

Ewon berkata: “Sepertimana dinyatakan oleh Presiden Upko (Datuk Seri Panglima Madius Tangau) kita akan terus menyokong kepimpinan YAB Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah dan sama-sama menguruskan negeri ini”.

“Sebenarnya banyak dasar baharu Kerajaan Sabah telah dicapai dan dilaksanakan di bawah kepimpinan Datuk Shafie yang juga diperjuangkan oleh parti Upko selama ini.

“Antaranya dasar pengeluaran kawasan perkampungan Anak Negeri dalam kawasan Hutan Simpan, kesepakatan 17 perkara berkaitan Perjanjian Malaysia yang telahpun dipersetujui, dasar tidak memberi konsesi pembalakan kepada syarikat swasta serta komposisi kaum yang lebih baik dalam perlantikan jawatan kanan perkhidmatan awam negeri.

“Sepanjang saya berada di dalam Upko sejak tahun 2005, perkara ini dibincangkan banyak kali dalam parti dan syukur, kita menjadi sebahagian daripada keputusan yang lebih baik berkenaan perkara-perkara tersebut pada hari ini.

“Justeru, menyatakan parti Upko tidak konsisten di dalam perjuangan adalah sesuatu yang kurang tepat. Apapun, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Limus dan Datuk James dalam platform baharu mereka dan berharap rakyat di kawasan yang mereka wakili akan mendapat manfaat daripada keputusan mereka ini. Kita masih boleh kekal sebagai rakan kupi-kupi,” kata Ewon.-Sabah News Kini
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda