Politik

Kerajaan Sabah Dibawah pimpinan Warisan masih utuh dengan dua pertiga majoriti

image

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) masih kukuh dengan majoriti dua pertiga walaupun dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Upko bertindak keluar daripada parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas.

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata keputusan Datuk James Ratib (Sugut) dan Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) tidak menjejaskan Warisan bersama Upko, PKR dan Dap yang memiliki 41 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah.

“Kerajaan Sabah masih memerintah kerana mempunyai 41 daripada 60 kerusi Dun Sabah sedangkan PN (Perikatan Nasional) termasuk dua yang melompat hari ini hanya ada 19 kerusi,” katanya.

Junz yang merupakan Adun Tanjung Aru menambah adalah penting untuk lebih arif berhubung soal sentimen dan fakta.

“Saya tahu ada banyak perbincangan yang didorong oleh sentimen. Tetapi jika anda melihat fakta dan melihat jumlahnya, kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan masih utuh,” tegas beliau lagi.

Junz yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata majoriti rakyat Sabah ingin memberi tumpuan untuk membina semula negeri ini dan bukannya menjadi sebahagian daripada permainan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan.

“Rakyat Sabah sebenarnya sangat muak dengan semua permainan isu politik ini yang bermula di Semenanjung. Kami tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya.

“Kami majoriti rakyat Sabah dan kepimpinan kerajaan Sabah ingin memberi tumpuan untuk membina semula negeri kita,” katanya. – SabahNewsKini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda