Berita Semasa

Covid-19: Sabah catat kes ke-241, hanya satu kes penambahan pada 7 April

image
KOTA KINABALU: Sabah catat kes Covid-19 ke-241 apabila satu lagi kes positif dikesan di Putatan pada 7 April. Ia merupakan kes kelapan di Putatan. Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata jumlah keseluruhan sampel yang telah diambil adalah sebanyak 12,413 daripada 195,350 orang yang dibuat saringan pemeriksaan. Pada 6 April, sebanyak 928 ujian COVID-19 telah dijalankan di mana terdapat 10 ujian positif termasuk sembilan sampel ulangan, katanya dalam kenyataan hari ini. Sehingga 8pagi 6 April, seramai 177 pesakit Covid-19, 85 Person Under Investigation (PUI) dan 43 pesakit dengan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) sedang dirawat di enam hospital berpakar di seluruh negeri. Kumulatif pesakit sembuh adalah seramai 61 orang. Walaupun tambahan kes positif hanya satu namun rakyat Sabah diingatkan untuk terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan serta mematuhi arahan semasa PKP kerana masih terdapat sampel yang akan diproses. “Pihak JKNS ingin menjelaskan berkenaan kluster yang melibatkan anggota kesihatan di beberapa fasiliti kesihatan. “Pengesanan beberapa kes positif Covid-19 dalam kalangan anggota kesihatan adalah melalui program saringan ke atas kakitangan yang baru melapor diri, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau kontak kepada kes Covid-19. “Program saringan ini dijalankan oleh Unit Kesihatan Pekerjaan di semua fasiliti kesihatan di Sabah. Ini adalah untuk memastikan anggota dan fasiliti kesihatan bebas daripada jangkitan Covid-19,” kata Dr Christina. Sementara itu, sempena Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini yang jatuh pada 7 April, Dr Christina mengajak masyarakat untuk memberi sokongan kepada semua jururawat. Justeru itu, JKNS ingin menghargai pengorbanan semua petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan dari agensi lain tidak kira di mana mereka bertugas dengan harapan perjuangan ini kita pikul bersama sehingga kita berjaya membanteras penyakit COVID-19.-SabahNewsToday
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda