Jenayah

37 TITIK PENDARATAN PATI KINI DIKENAL PASTI

image

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengenal pasti sebanyak 37 titik pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini membabitkan 10 daerah di Sabah.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, titik pendaratan PATI itu dikenal pasti dalam Op Benteng COVID-19 yang diaktifkan di Sabah pada 21 Mac lepas.

Katanya kesemua titik pendaratan itu membabitkan 11 kawasan di Sandakan; Lahad Datu (lima); masing-masing empat kawasan di Tawau, Kudat dan Beluran; Kunak (tiga); dua kawasan di Kota Marudu dan Kinabatangan; serta satu kawasan di Semporna dan Pitas.

“Operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu dalam ‘National Task Force’ pada April lepas bersama agensi lain diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, yang bertujuan menyekat kemasukan PATI dengan memperkukuh kawalan sempadan negara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Kawalan sempadan ini dilakukan di dua tempat iaitu di sempadan daratan – lorong tikus dan lokasi-lokasi lain yang menjadi tempat pendaratan PATI,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, 14 projek pembangunan fizikal di Sabah yang juga projek kategori sambungan daripada Pelan Pusingan terdahulu dengan kos RM1 bilion dan kesemua projek terbabit dalam pelbagai fasa pembinaan.

Beliau berkata, ini adalah selari dengan inisiatif KDN yang memberi fokus kepada kerja-kerja naiktaraf, ubah suai dan pembaikan premis serta fasiliti sedia ada, dan menurutnya, RM12,996,570 diperuntukkan bagi kerja-kerja naik taraf dan pembaikan fasiliti Polis Diraja Malaysia di Sabah merangkumi pembaikan kuarters, pejabat serta stor.-Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda