Jenayah

Sekali Hantar Dadah Dapat Komisen RM7

image

KOTA KINABALU: Upah menjadi penghantar atau ‘runner’ dadah serendah RM7 bagi setiap penghantaran.

Perkara itu didedahkan seorang lelaki yang memainkan peranan berkenaan selepas dia ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah dalam Ops Perdana yang dilakukan di negeri berkenaan.

Operasi dijalankan di tujuh daerah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat, Beaufort, Ranau dan Keningau itu berjaya menahan 89 individu yang didapati positif dadah.

Pengarah AADK Sabah, Abdul Hamediee Ibrahim berkata, operasi selama empat hari itu dijalankan di kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai lokasi aktif penagihan dadah.

Katanya, sepanjang operasi dijalankan, pihaknya menghadapi pelbagai cabaran termasuk tindakan penagih yang terjun ke laut untuk meloloskan diri.

“Dalam operasi di Kampung Tanjung Kapor, Kudat, pegawai penguat kuasa AADK berjaya menahan seorang lelaki berperanan sebagai ‘runner’ dadah.

“Hasil siasatan, ‘runner’ itu mengaku mendapat upah sebanyak RM7 setiap kali penghantaran kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Abdul Hamediee berkata, semua yang ditahan berusia antara 18 hingga 51 tahun dan akan direman untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki penagih dadah,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Hamediee berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Negeri Sabah di talian 088-243576 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran untuk tindakan segera.- HMetro

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda