Berita Semasa

Didakwa Pujuk Ahli Parlimen Parti WARISAN, Anifah Jawab Dakwaan Shafie

image

PETALING JAYA: Selepas dituduh cuba memujuk ahli Parlimen Warisan, Mohamaddin Ketapi keluar parti, Anifah Aman tampil membuat penjelasan.

Sambil menepis tuduhan itu, katanya, beliau hanya memberi pandangan tentang keadaan politik semasa di Sabah kepada bekas menteri pelancongan itu.

“Berkenaan dengan isu Mohammadin Ketapi, beliau sebagai salah seorang kawan yang sama-sama bersekolah di England dulu, yang meminta pandangan saya berkenaan keadaan Sabah.

“Saya memberikan pendapat bahawa disebabkan bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak buat masa ini walaupun bergabung hanyalah 56 kerusi sahaja, maka harus bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam usaha mendapatkan hak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 serta perlembagaan persekutuan demi kepentingan rakyat Sabah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah berkata, pandangan itu bukan sahaja dikemukakan kepada Mohammadin, tetapi turut diberikan kepada mana-mana rakan politik lain jika nasihatnya diminta.

Beliau yang juga bekas menteri luar pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) mengucapkan terima kasih berhubung kenyataan presiden Warisan Shafie Apdal yang mendakwa bahawa beliau menghubungi wakil rakyat parti berkenaan supaya melompat parti.

“Walaupun tidak memegang sebarang jawatan di peringkat negeri mahupun persekutuan, nama saya masih lagi disebut-sebut. Mungkin atas sebab banyak jasa saya sudah taburkan kepada negara sebab itulah beliau (Shafie) susah mahu melupakan nama saya.

“Sebenarnya saya mempunyai ramai kawan yang selalu menghubungi saya untuk berbincang serta meminta pendapat berkenaan keadaan politik semasa, terutamanya di Sabah.

“Walaupun saya belum lagi mempunyai sebarang parti, namun kemungkinan disebabkan saya dianggap berpengalaman maka pendapat saya sentiasa dipinta,”katanya sambil memaklumkan bahawa fokusnya hanya satu, iaitu mengembalikan hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau turut menasihati Shafie yang juga ketua menteri Sabah supaya memberi fokus kepada isu rakyat negeri itu, termasuk memulihkan ekonomi kesan daripada wabak Covid-19.

“Jangan janji ketua menteri Sabah tinggal janji manis seperti janji terang bulan,”katanya.

Terdahulu hari ini, Shafie mendakwa Anifah banyak menghubungi wakil rakyat parti berkenaan supaya melompat parti.

Bercakap selepas mengadakan mesyuarat dengan ahli Parlimen dan Adun gabungan parti Sabah pimpinannya, Shafie berkata, beliau tidak akan tunduk dalam menghadapi “rancangan besar” Perikatan Nasional (PN) untuk meyakinkan ahli Parlimen dan Adun negeri itu supaya meninggalkan gabungan kerajaan negeri terdiri daripada Warisan-DAP-PKR-Upko dan menyertainya.

Beliau berkata, rancangan besar itu melibatkan janji berkaitan kedudukan dan perolehan wang sekiranya mereka menyertai pesaing politik tersebut.

Shafie berkata, beliau dimaklumkan oleh Mohammadin bahawa Anifah menghubunginya sebanyak 3 kali untuk memujuk beliau supaya meninggalkan Warisan.

Mohammadin mengesahkan perkara itu dengan menyifatkan permintaan dan pujukan daripada seseorang agar meninggalkan parti sebagai “perkara biasa”. – Free Malaysia Today

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda