Kesihatan

Sabah Tiada Kes Baru, Dua Lagi Pesakit Sembuh : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini manakala dua lagi pesakit sembuh daripada jangkitan virus berkenaan.

Jumlah kes positif di negeri ini kekal sebanyak 355, manakala bilangan keseluruhan kes pulih meningkat kepada 341.

Di akaun Facebook beliau, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon memaklumkan bahawa kes pulih merupakan pesakit di Kota Kinabalu dan Tuaran.

Pertambahan dua kes pulih pada hari ini menjadikan baki jumlah kes aktif di Sabah tinggal sembilan sahaja.

Kota Kinabalu, Tuaran dan Beaufort masing-masing mempunyai dua kes aktif, sementara satu kes aktif masing-masing dicatat di Tawau, Penampang dan Pitas.

Kes kematian Covid-19 di Sabah juga kekal sebanyak lima kes.

Sementara itu,  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 31 kes Covid-19 baharu hari ini.

Daripada 31 kes baharu itu, 11 kes adalah kes import manakala kes selebihnya adalah penularan tempatan di mana hanya seorang rakyat Malaysia yang terlibat.

Sehingga kini, jumlah kumulatif kes jangkitan Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,369 kes.

Seramai 51 pesakit telah laporkan pulih sepenuhnya pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di negara ini sebanyak 7,065 kes.

Tiada sebarang kes kematian baharu yang dicatatkan pada hari ini, dan jumlah kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 118.-Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda