Kesihatan

TIADA KES BAHARU DI SABAH, JUMLAH KES AKTIF JUGA KEKAL: COVID-19

image

KOTA KINABALU: Tiada pertambahan kes Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan setakat ini kekal sebanyak 355 kes.

Statistik terbaharu yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, hari ini, juga menyaksikan tiada kes sembuh dicatatkan.

Ini bermakna jumlah keseluruhan kes sembuh juga kekal sebanyak 339 manakala jumlah kes aktif yang masih dirawat juga kekal sebanyak 11 kes.

Selain itu, jumlah daerah yang berada dalam zon kuning kerana mencatat kes aktif juga kekal sebanyak enam daerah iaitu Kota Kinabalu dan Tuaran yang masing-masing mencatat tiga kes, Beaufort dua kes manakala Tawau, Penampang serta Pitas masing-masing mencatat satu kes.

Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,398, Selangor (1,971), Negeri Sembilan (911), Johor (677), Sarawak (556) dan Pahang (363).-Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda