Kesihatan

MALAYSIA CATAT DUA KES BARU, SATU KEMATIAN : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Hanya dua kes Covid-19 baharu dicatatkan di Malaysia, hari ini, dengan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan kini sebanyak 8,338 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, berkata satu daripada kes terbabit adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala satu lagi adalah kes penularan tempatan.

Katanya, kes penularan tempatan itu juga membabitkan seorang warga asing.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini juga, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia.

“Satu kes penularan di dalam negara yang dicatatkan adalah merupakan seorang bukan warganegara di mana kes ini dilaporkan di Kuching, Sarawak iaitu kes saringan kepada kontak rapat kes 8303,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sejumlah 39 lagi pesakit telah pulih dan discaj pada hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,014 kes atau 84.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,206 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan sama, satu lagi kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat jangkitan wabak itu kini sebanyak 118 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-118 (kes ke-824) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac lalu dan disahkan meninggal dunia pada 10 Jun jam 7.03 pagi,” katanya.- Sabah News Kini
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda