Luar Negara

Situasi bertambah buruk di seluruh dunia - WHO

image

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pandemik COVID-19 masih menjadi satu ancaman besar di seluruh dunia.

Ketua Pengarah Dr Tedros Adhanom Gebreyesus memberi amaran itu selepas 136,000 kes dilaporkan di seluruh dunia pada Ahad yang merupakan antara rekod harian peningkatan kes baharu tertinggi.

Menurutnya, ketika ini terdapat trend penurunan jangkitan dan kematian di banyak negara, khususnya di Eropah.

Namun, terdapat trend peningkatan jangkitan dan kematian akibat pandemik itu di bahagian lain di dunia.

Katanya, negara seperti Brazil kini menyaksikan peningkatan kes yang ketara dan dengan lebih 34,000 jumlah kumulatif kematian meletakkan negara itu di kedudukan ketiga tertinggi di dunia di belakang Amerika Syarikat dan Britain.

"Hampir 7 juta kes COVID-19 kini dilaporkan kepada WHO dan hampir 400,000 maut, walaupun keadaan di Eropah bertambah baik, secara global ia semakin buruk.
"Lebih 100,000 kes telah dilaporkan pada sembilan daripada 10 hari terakhir. Semalam, lebih 136,000 kes dilaporkan, yang paling banyak dalam satu hari setakat ini.

"Hampir 75 peratus kes semalam berasal dari 10 negara, kebanyakannya di AS dan Asia Selatan. Sebilangan besar negara di rantau Afrika masih mengalami peningkatan jumlah kes COVID-19, dengan beberapa kes dilaporkan di kawasan geografi baharu," kata Dr Tedros.

Justeru, beliau menasihati semua negara agar tidak alpa serta terus melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang tinggi bagi mengekang penularan virus itu.-Sabah News Kini
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda