Berita Semasa

Parti Warisan Hairan Pertuduhan Rasuah Musa Aman Digugurkan

image

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) merasa hairan bagaimana kes rasuah dan pengubahan wang haram ke atas bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman boleh digugurkan tanpa sebarang perbicaraan dijalankan.

Kesemua 46 pertuduhan berkaitan dengan pemilikan balak digugurkan dan Musa dibebas dan dilepaskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Ketua Wira Warisan Sabah, Datuk Azis Jamman mahu pihak berkaitan tampil memberi penjelasan bagaimana kes itu boleh ditarik balik dan digugurkan begitu sahaja.

Beliau berkata, Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas sebelum ini mendapati kes terhadap Musa memang layak untuk dibicarakan.

“Peguam Negara sebelum ini berpendapat memang ada kes tuduhan terhadap Musa namun, berikutan perubahan kerajaan yang kini dibawah Perikatan Nasional (PN), kes yang dahulunya patut dibicarakan telah digugurkan dibawah Peguam Negara yang baharu.

“Jadi, sekiranya kerajaan bertukar lagi, adalah Peguam Negara akan turut bertukar?,” soalnya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan untuk membebas dan melepaskan Musa selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik semula semua pertuduhan terhadap kes itu.

Hari ini sepatutunya pengurusan kes bagi kesemua pertuduhan terhadap Musa.

Mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri ini bersetuju dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa banyak perkara pelik yang berlaku di Malaysia pada ketika ini terutama membabitkan perundangan.

“Ramai orang mempersoalkan sistem perundangan di Malaysia yang boleh bertukar warna mengikut siapa kerajaan persekutuan yang memerintah.

Azis secara peribadi menyatakan kes Musa digugurkan adalah sesuatu yang pelik. Malah, hari ini Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony turut dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

Peter dipanggil membantu siasatan di ibu pejabat SPRM Sabah berkaitan kes pembelian tanah RISDA pada 2014.

Bagaimanapun SPRM belum memaklumkan fokus siasatan bagi kes tersebut.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menyifatkan keputusan Mahkamah Tingggi itu membuktikan Musa bersih daripada pertuduhan rasuah dan seharusnya tidak patut ada yang mempertikaikan keputusan tersebut.- Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda