Jenayah

PENJENAYAH INGIN CUBA LANGGAR POLIS DITEMBAK MATI

image

KUDAT: Polis menembak mati seorang penjenayah selepas cuba melanggar anggota polis dengan van dipandunya yang membawa muatan barangan curi di jalan Kampung Sungai Karang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, lelaki berusia 40-an tahun mati di tempat kejadian akibat daripada tembakan yang terkena dibahagian leher suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan sebuah van disyaki membawa muatan barangan curi berada di sekitar pekan daerah ini.

Katanya, pasukan polis kemudian menjalankan rondaan dan menemui van berkenaan yang sedang parkir bersebelahan dengan sebuah restoran yang dinaiki dua lelaki dengan enjinnya masih hidup.

“Anggota polis kemudian mendekati van itu dan cuba membuat pemeriksaan namun van dipandu suspek bertindak mengundurkan kenderaan dan mahu melanggar salah seorang anggota polis.

“Situasi itu menyebabkan anggota polis melepaskan tembakan dan mengenai tayar dibahagian belakang namun suspek terus memecut kenderaannya sebelum dikejar oleh pasukan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Firdaus berkata, van dipandu suspek kemudian masuk ke kawasan kebun kelapa sawit dengan jalan berbukit di Kampung Sungai Karang.

Katanya, anggota polis terus mengejar dan berjaya memintas van dinaiki suspek dan ketika anggota polis menghampiri van itu untuk pemeriksaan, suspek terus menekan pedal minyak dan cuba merempuh anggota polis.

“Keadaan itu menyebabkan anggota polis terbabit terpaksa melepaskan satu das tembakan untuk tujuan mempertahankan diri. Selepas tembakan itu, van berkenaan terus terbabas ke kawasan semak.

“Pemandu van itu kemudian keluar daripada kenderaan dan terus rebah manakala rakannya berusia 20-an yang cuba melarikan diri namun berjaya dihalang dan berlaku sedikit pergelutan sebelum suspek diberkas,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas van itu menemui pelbagai komponen kenderaan dipercayai dicuri oleh kedua-dua suspek.

“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Pulau Banggi dan Semporna.

“Kedua-dua suspek ini juga dipercayai terbabit 20 kes jenayah membabitkan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan,” katanya.

Kes siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.-
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda