Jenayah

SATU BAYI MASIH BERTALI PUSAT DITEMUI

image

SANDAKAN: Seorang wanita terkejut apabila menemui seorang bayi perempuan masih bertali pusat yang dipercayai baharu dilahirkan dan ditinggalkan di pintu pagar Pusat Jagaan Anak Yatim Al Yakin, di Batu 1 1/2, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, wanita terbabit dikatakan sedang menjemur kain di halaman rumah sebelum terdengar suara bayi menangis.

Ketika ditemui, bayi terbabit dipercayai hanya dibalut kain dan diletakkan di dalam kotak.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata wanita terbabit menghubungi polis sebelum bayi berkenaan dibawa ke Hospital Duchess of Kent.

Katanya, bayi seberat 2.65 kilogram itu kini dirawat dan pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan terhadap bayi.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya di sini, hari ini. – Sabah News Kini
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda