Kesihatan

2 Kes Baharu Di Tuaran Merupakan Adik-beradik : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan  dua kes jangkitan positif Covid-19 yang dilaporkan di Tuaran semalam merupakan adik-beradik yang tinggal serumah.

Pengarahnya, Datuk Dr. Christina Rundi berkata, dua kes baharu itu dikategorikan sebagai kes tempatan dan kedua-dua mereka merupakan kontak rapat kes positif sebelum ini.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan hasil siasatan awal menunjukkan kemungkinan jangkitan tersebut berlaku disebabkan aktiviti luar berikutan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dr. Christina berkata, kedua-dua mereka telah pun dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, aktiviti kawalan dan pencegahan turut dipertingkatkan di lokasi kediaman pesakit tersebut termasuklah lokasi-lokasi lain yang dikenal pasti.

Setakat semalam, dengan pertambahan dua kes baharu itu, Sabah merekodkan sebanyak 353 kes.

Pada 6 Jun lalu, sejumlah 1,685 ujian Covid-19 telah dijalankan di Sabah menjadikan jumlah keseluruhan kumulatif ujian sebanyak 98,015.

Dalam pada itu, Dr. Christina mengingatkan orang agar sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam serta mencuci tangan secara kerap bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.- Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda