Jenayah

LIMA PEMANDU MABUK DITAHAN DI PENAMPANG

image

PENAMPANG: Polis menahan lima lelaki selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam sekatan jalan raya ‘Op Mabuk’ di kedua-dua arah Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula jam 9 malam hingga 1 pagi itu turut mengeluarkan 19 saman pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 95 pelbagai jenis kenderaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, seramai 115 individu diperiksa membabitkan 95 lelaki dan 20 wanita.

Katanya, lima pemandu lelaki berusia 25 hingga 59 tahun yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

“Dalam operasi ini, polis turut mengeluarkan 19 saman atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Selain itu, kesalahan lain yang dikesan adalah
membabitkan ubah suai ekzos dan kesalahan nombor pendaftaran, tiada perlindungan insurans dan kegagalan lampu brek,” katanya dalam ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, operasi ini akan diteruskan dalam usaha polis mengekang pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol di Daerah Penampang.

Sehubungan itu, Mohd Haris berkata, menasihati pengguna jalan raya supaya mengambil serius dan mempunyai rasa tanggungjawab keselamatan kepada diri sendiri dan pengguna jalan yang lain.

Katanya, kesan memandu di bawah pengaruh alkohol amat membahayakan bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.-Sabah News Kini
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda