Berita Semasa

PKPP GANTI DENGAN PKPB SEHINGGA 31 OGOS

image

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan.

Katanya, Malaysia kini telah memasuki fasa pemulihan dan menerusi PKPP, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

“Sejak pelaksanaan PKP dan PKPB penularan Covid-19 di Malaysia kian menurun, dengan kadar jangkitan di kalangan rakyat tempatan semakin rendah dan terkawal.

“Banyak kawalan dikenakan ke atas saudara dan saudari. Itu tak boleh, ini tak boleh.

“Namun saya sedar kerajaan tidak boleh mengawal kehidupan anda buat selama-lamanya untuk menghindari jangkitan wabak ini. Saya tahu anda juga mahu menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kini tibalah masanya kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran dengan syarat anda sendiri mengambil tanggungjawab secara serius untuk mengamalkan kebiasaan baru dan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, hari ini.

Muhyiddin berkata, dengan penguatkuasaan PKPP, hampir semua kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat, dengan pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya lagi, waktu operasi perniagaan juga akan kembali seperti biasa dengan pelaksanaan kebiasaan baru seperti penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka dan pembersih tangan di premis.

“Kegiatan komersial bukan dalam premis perniagaan serta kegiatan sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan sentuhan juga dibenarkan.

“Bagaimanapun pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penonton yang ramai di stadium atau tempat acara lain masih dilarang,” katanya.

Bagi pelancongan, beliau berkata, kegiatan pelancongan dalam negeri dibenarkan, manakala sempadan negara masih ditutup bagi pelancongan luar negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menggesa orang ramai agar terus berdisiplin dalam mematuhi langkah keselamatan agar wabak Covid-19 kekal terkawal.

“Kita akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus COVID-19 ditemui.

“Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan,” katanya.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda