Kesihatan

galak orang ramai pakai pelitup muka kain : WHO

image

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi mengubah pendiriannya terhadap pemakaian pelitup muka sejak tercetusnya wabak COVID-19 hujung tahun lalu.

Pada Jumaat, pertubuhan itu memperbaharui nasihatnya kepada kerajaan untuk meminta orang ramai memakai pelitup muka kain di ruang awam yang mempunyai risiko jangkitan COVID-19 bagi mengurangkan penularan virus itu.

Garis panduan terbaharu itu berdasarkan bukti saintifik daripada kajian yang dijalankan sejak beberapa minggu yang lalu.

WHO bagaimanapun menekankan bahawa pelitup muka hanya merupakan satu daripada pelbagai alat lain bagi membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan tidak sepatutnya menjadikan orang ramai terlalu selesa.

“Pelitup muka sahaja tidak akan melindungi anda daripada COVID-19,” tegas Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada wartawan.

Maria Van Kerkhove, pakar teknikal WHO berhubung COVID-19 berkata kepada Reuters: “Kami menasihatkan kerajaan-kerajaan untuk menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka.
“Kami juga bercakap khususnya tentang pelitup muka kain yang bukan untuk tujuan perubatan,” kata Maria.

“Kami mempunyai hasil kajian baharu,” tambahnya.

“Kami mempunyai bukti bahawa sekiranya ia dilakukan dengan betul, ia boleh menjadi benteng yang menghalang titisan air yang mungkin berjangkit.”

Sebelum ini, WHO memaklumkan bahawa pihaknya masih tidak mempunyai bukti yang mencukupi berhubung pemakaian pelitup muka di ruang awam.

Pertubuhan itu sebelum ini hanya menggalakkan pelitup muka perubatan dipakai oleh individu yang bergejala serta petugas yang merawat mereka.

Terbaharu, Britain mewajibkan pemakaian pelitup muka buat semua penumpang bas, kereta api, pesawat dan feri di England bermula 15 Jun.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda