Berita Semasa

Pengurus Akaun rugi RM67,700 Oleh sindiket Macau Scam

image

LABUAN: Seorang pengurus akaun kerugian sebanyak RM67,700 selepas terpedaya dengan sindiket dipercayai ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, wanita berusia 40 tahun terbabit mendakwa menerima panggilan telefon dari tiga lelaki yang tidak dikenalinya.

Apa yang mengejutkan mangsa, apabila ‘pegawai bank’ terbabit mendakwa ada individu lain menggunakan identiti mangsa untuk memohon kad kredit di sebuah bank.

Selain itu, sindiket berkenaan turut mendakwa hasil semakan mendapati penggunaan kad kredit yang menggunakan nama mangsa sudah melebihi had yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata siasatan awal mendapati, bagi mengemas kini akaun, mangsa diminta mendedahkan butiran diri, nombor akaun, kata laluan dan ID akaun kononnya bagi tujuan siasatan.

“Bagaimanapun selepas maklumat akaun diberikan, mangsa kemudiannya mendapati sejumlah wang dari akaun miliknya sudah dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenali.

“Mangsa kemudiannya menyedari ditipu dan terus tampil ke balai polis bagi membuat laporan,” katanya dalam kenyataaan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebat dan denda.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon dan jangan sesekali memberikan maklumat peribadi mahupun maklumat akaun bank kepada orang tidak dikenali,” katanya. – SabahNewsKini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda