Kesihatan

SABAH TIADA KES BAHARU, SEORANG LAGI PESAKIT PULIH : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Tiada pertambahan kes Covid-19 baharu di Sabah, hari ini, dengan jumlah keseluruhan kes kekal sebanyak 348.

Statistik yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi, turut menyaksikan seorang lagi pesakit jangkitan wabak itu telah sembuh dan discaj.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di Sabah, setakat ini, ialah sebanyak 333 kes.

Perkembangan itu turut menyaksikan jumlah kes aktif menurun satu kes kepada 10 berbanding 11 kes, semalam.

Jumlah daerah yang berada dalam zon kuning kerana masih mempunyai kes aktif ialah sebanyak tujuh iaitu Tawau yang mencatat empat kes aktif manakala Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tuaran, Beaufort, Putatan, dan Ranau masing-masing mencatat satu kes aktif.

Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,099, Selangor (1,928), Negeri Sembilan (902), Johor (676), Sarawak (552) dan Pahang (361).-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda