Berita Semasa

Saya Minta Maaf Sebab Ada Yang Terlepas Terima Bantuan :Shafie

image

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie mengakui ada kelemahan dalam penyampaian Pakej Bantuan Covid-19 Sabah menyebabkan ada rakyat yang terlepas daripada menerima bantuan yang disediakan.

Sehubungan itu, Ketua Menteri dengan rendah hati memohon maaf secara terbuka kepada setiap rakyat Sabah yang masih belum menerima bantuan berkenaan.

Katanya, Kerajaan Sabah akan terus berusaha untuk memastikan rakyat yang susah menerima bantuan dan sistem pelaksanaan diperbaiki pada masa akan datang.

“Mungkin ada yang ketinggalan jadi saya minta maaf kadang-kadang ada orang tuduh saya menipu, bukan saya tipu tetapi ada yang tidak kesampaian, mungkin ada yang saya janji, kita akan bagi sebanyak mungkin.

“Tetapi kita tidak tahu berapa yang ada contoh bila saya bentang di Kabinet kita bagi rakyat di Semenanjung yang ada 30,000 hari ini sudah pun 61,000 membatasi target yang kita bagi,” katanya dalam sidang akhbar petang ini.

Mohd. Shafie berkata, kerajaan akan terus berusaha memastikan rakyat Sabah dibantu dalam berdepan kesukaran ketika negara berdepan dengan Covid-19.

Beliau berkata, hakikatnya, lebih dua juta rakyat Sabah daripada pelbagai peringkat telah menerima bantuan yang disediakan kerajaan, namun kelemahan pasti ada.

“Anda boleh bayangkan lebih dua juta sudah kita bantu populasi Sabah kira-kira tiga juta lebih sahaja jadi lebih separuh rakyat kita sudah bantu.

“Tapi saya tahu ada lagi belum dapat mungkin contoh di Semenanjung saya difahamkan rakyat kita di Semenanjung ada 200,000 lebih cuma yang kita dapat bagi bantuan beri bakul makanan cuma 61,000.

“Saya mohon maaf kepada mana-mana pihak sekiranya mereka dalam keadaan tidak kesampaian selaku kerajaan negeri kita berusaha sedaya mampu untuk membantu golongan ini untuk memastikan supaya sistem penyampaian kita dapat kita tingkatkan,” katanya.

Sementara itu, menurut data yang dikeluarkan, sebanyak RM158,409,586 telah dibelanjakan Kerajaan Sabah untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Sabah.

Pecahan bantuan tersebut adalah RM18,962,100 dibelanjakan melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dengan jumlah penerima terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya dan pesakit Covid-19 seramai 63,181 orang.

Para penternak, peladang dan nelayan turut menerima bantuan yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani seramai 100,541 penerima membabitkan peruntukan RM30,162,300.

Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut memberikan bantuan kepada 2,042 penerima membabitkan peruntukan RM612,600.

Melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula, seramai 82,395 penerima miskin dan miskin tegar serta ketua isi rumah telah menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan RM31,407,700.

Bantuan-bantuan lain turut diserahkan melalui Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Kerja Raya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda