Jenayah

SEORANG LELAKI WARGA ASING MILIKI SYABU BERNILAH LEBIH RM200,000

image

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki selepas didapati memiliki syabu seberat 5.184 kilogram yang dianggarkan bernilai RM207,378 dalam satu serbuan di Semporna, Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, kejayaan itu hasil risikan dan intipan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Semporna.

Katanya, lelaki warga asing berusia 25 tahun itu berjaya ditahan pada jam 7.30 malam di Terminal Bas, Semporna.

“Ketika tangakapan itu, lelaki terbabit dikesan sedang membawa sebuah kotak yang dipercayai baru tiba daripada Kota Kinabalu melalui pengangkutan darat.

“Hasil pemeriksaan terhadap kotak berkenaan menemui 19 kotak kecil berisi ‘earphones’ dan lima lagi bungkusan besar bertulis teh hijau yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah, Superintendan Ahmad Jawila.

Zaini berkata, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan dan dianggarkan boleh digunakan kira-kira 1,000 penagih dalam jangka masa satu bulan.

“Suspek terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin lalu untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Zaini berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda