Luar Negara

Selepas koronavirus, Asia Tenggara lebih serius membasmi perdagangan hidupan liar - WWF

image
BANGKOK: Pandemik koronavirus yang berlaku ketika ini secara tidak langsung telah mencetuskan sokongan kuat terhadap usaha menutup operasi pasar-pasar haram yang menjual hidupan liar di seluruh Asia Tenggara, lapor Reuters. Rantau itu dilabel sebagai pusat penting perdagangan bernilai berbilion-bilion dolar, menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), menerusi dapatan satu tinjauan awam pada Isnin. Kira-kira 93 peratus daripada 5,000 orang yang menyertai tinjauan awam oleh WWF itu di tiga buah negara Asia Tenggara selain Hong Kong dan Jepun, sependapat bahawa penjualan haram hidupan liar perlu dihentikan demi menghindari sebarang pandemik pada masa akan datang. Para saintis percaya bahawa virus yang telah menjejaskan kehidupan berbilion-bilion nyawa di seluruh dunia kini ada kaitan dengan tempat penjualan hidupan liar, khususnya di Wuhan, China – yang menyaksikan haiwan seperti kelawar, tenggiling dan binatang lain dihimpunkan secara bersesak dalam persekitaran yang teruk, serta berpotensi membawa dan menyebabkan jangkitan koronavirus. "Ini bukan lagi masalah hidupan liar. Ini masalah keselamatan global, kesihatan manusia dan masalah ekonomi," tegas Pengarah Asia Pasifik WWF, Christy Williams. Sokongan paling kuat untuk menutup pasar haram seumpamanya diterima dari Myanmar, iaitu lokasi hidupan liar yang selama ini diperdagang secara terbuka, sementara sepertiga responden di Vietnam pula bersetuju bahawa krisis itu telah membuatkan mereka berhenti memakan produk berasaskan hidupan liar. "COVID adalah satu amaran kesedaran. Perdagangan hidupan liar yang tidak dipantau adalah risiko bukan saja kepada kesihatan dan ekonomi, malah kestabilan serantau,” kata Pengurus Program Perdagangan Hidupan Liar di WWF Myanmar, Grace Hwa. Semasa awal penularan wabak di Wuhan, sehingga ia merebak ke seluruh dunia, China memperkenalkan larangan ke atas semua penjualan dan pengambilan hidupan liar sebagai makanan. Namun larangan itu tidak meliputi perdagangan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan dan juga untuk kegunaan perubatan tradisional. Perdana Menteri Vietnam juga telah mengarahkan Kementerian Pertanian negara itu merangka undang-undang yang serupa – mengharamkan perdagangan hidupan liar dan pengambilannya sebagai makanan. Bagaimanapun, wakil Asia Tenggara dan Pasifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hal dadah dan jenayah, Jeremy Douglas, berkata sesetengah perdagangan itu sudah masuk ke pasaran gelap. “Saya sangat bimbang tentang rantau istimewa ini,” ujarnya yang merujuk kepada zon autonomi di sempadan Myanmar-China yang dikuasai kumpulan bersenjata etnik, yang menjadi hab penyeludupan hidupan liar.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda