Berita Semasa

Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah Akan Diedar Esok

image

KAJANG: Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah akan diedarkan esok bagi membolehkan pentadbir dan guru membuat persediaan sewajarnya,

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata garis panduan pergerakan pelajar di dalam sekolah bermula daripada setibanya pelajar di sekolah hingga mereka pulang, dihasilkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita keluarkan garis panduan ini bagi melihat kaedah yang perlu dilakukan dalam konteks pembukaan sekolah dan persiapan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak sekolah bagi memastikan bila sahaja kita umumkan pembukaan, maka setiap sekolah telah bersedia.

“Kementerian sentiasa berbincang dengan pihak sekolah iaitu ruang yang boleh ditambah baik dalam garis panduan itu akan kita lakukan. Apa yang penting semua pihak mainkan peranan iaitu pengurusan sekolah, guru termasuk ibu bapa. Misalnya, jika anak bergejala, tidak perlu hantar ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Mohd Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.

Mohd Radzi berkata, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah akan memantau sekolah bagi memastikan garis panduan yang disediakan dipatuhi.

“Saya juga akan singgah di sekolah-sekolah untuk melihat pelaksanaan garis panduan yang telah diadakan dan kita yakin pihak pengurusan sekolah dan juga guru akan bantu kementerian agar garis panduan ini akan dipatuhi,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, ibu bapa tidak perlu risau menghantar anak mereka ke sekolah selain perlu memainkan peranan mendidik anak-anak mendisiplinkan diri sekurang-kurangnya dengan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

Ditanya mengenai bila sesi persekolahan akan bermula, beliau menegaskan setakat ini masih tiada tarikh yang ditetapkan dan pihaknya bekerjasama rapat bersama Kementerian Kesihatan dan MKN untuk memutuskan perkara itu.

“Apabila Kementerian Kesihatan dan MKN merasakan sudah sampai masanya sekolah dibuka, maka kita akan umumkan dua minggu sebelum ia dibuka. Kami belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembukaan sekolah,” katanya.

Menurutnya, pembukaan sekolah kelak hanya membabitkan pelajar tingkatan lima dan enam sahaja dengan hampir 3,000 sekolah menengah. – BERNAMA

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda