Berita Semasa

Jeffrey cabar balik Azis guna kuasa Kerajaan Negeri hantar pulang PTI di Sabah

image

KOTA KINABALU: Datuk Dr Jeffrey Kitingan hari ini mencabar balik Datuk Mohd Azis Jamman untuk menghantar Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang berada di Sabah balik ke negara asal masing-masing dengan segera.

Timbalan Menteri Pelancongan dan juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) itu mencabar Azis pula menghantar balik PTI dengan menggunakan kuasa Kerajaan Negeri.

Dua hari lepas, Azis yang merupakan Ahli Parlimen Sepanggar dan mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri mencabar Dr Jeffrey mengusir PTI di Sabah dengan serta merta seperti yang beliau perjuangkan semasa dalam blok pembangkang.

Azis dilaporkan berkata sebelum ini Dr Jeffrey begitu lantang mengkiritik dan mendakwa kerajaan negeri pimpinan Warisan ‘mesra’ PTI “maka itu masanya telah tiba untuk Dr Jeffrey menjalankan tanggungjawab.”

Azis turut mencadangkan agar Dr Jeffrey meminta bantuan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin yang kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri bagi menyelesaikan masalah PTI di Sabah.

“Cakap memang mudah,” Azis dilaporkan berkata.

Mengulas kenyataan Azis, Dr Jeffrey berkata beliau hairan dengan cabaran Azis itu memandangkan beliau berpeluang berbuat demikian semasa berada dalam kerajaan dahulu.

“Ini menunjukkan beliau tidak konsisten dengan tindakan mereka dahulu,” katanya, sambil menambah mereka juga cuba memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) untuk warga asing di Sabah.

“Saya hairan kerana dulu beliau adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri dan menguasai Kerajaan negeri. Ketua Menteri masih lagi pengerusi Majlis Keselamatan Negeri dan dibawahnya adalah Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Dr Jeffrey berkata beliau tiada kuasa dalam Kementerian Dalam Negeri kerana beliau adalah Timbalan Menteri Pelancongan, namun “saya berhak mencadangkan tindakan yang perlu dibuat untuk menyelesaikan masalah ini.”

“Saya menyampaikan luahan rakyat yang inginkan masalah PTI ini ditangani, sebab itu saya cadang diadakan satu forum.

“Salahkah itu untuk adakan satu forum bagi mendengar apa sebenarnya rakyat mahu dan tindakan yang harus buat,” katanya.

Beliau menambah hasil daripada forum itu kemudian akan dihantar kepada kerajaan melalui Kementerian Hal Ehwal Sabah and Sarawak untuk diambil tindakan.

“Jangan sembarang cabar. Saya cabar diri kau sendiri … Jangan politikkan forum ini. Kalau mahu kita bekerjasama dan berbincang untuk menyelesaikan masalah ini,” kata Dr Jeffrey.

Sementara itu, beliau menyatakan sokongan penuh Star Sabah terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri terutama dalam soal menangani pandemik Covid-19 negara.-SabahNewsKini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda