Jenayah

Remaja 14 tahun ditahan dan ditangkap kerana khalwat

image

REMAJA perempuan berusia 14 tahun sanggup menipu ibu bapa kononnya bermalam di rumah rakan sebaliknya menyewa bilik motel dengan teman lelaki di Kuala Muda, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, dia ditahan dalam serbuan 3 pagi di sebuah motel.

Beliau berkata, remaja itu ditahan bersama pasangannya berusia 17 tahun dalam bilik motel berkenaan.

"Ketika disoal siasat, remaja perempuan itu memberitahu dia menunggang motosikal untuk bertemu pasangannya di bandar Sungai Petani dan menipu keluarga kononnya dia menumpang tidur di rumah kawan.

"Berikutan itu mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan anggota kami menghantarnya pulang ke rumah 4.30 pagi selepas keterangan diambil," katanya ketika ditemui di pejabat JAIK di Alor Setar, hari ini.

Dalam serbuan berasingan di motel sama, anggota penguat kuasa JAIK menahan seorang wanita Indonesia dengan seorang lelaki tempatan.

Beliau berkata, mereka yang berusia 28 dan 29 tahun itu dicekup kerana disyaki berkhalwat.

"Wanita itu menangis apabila kami memaklumkan akan menyerahkannya kepada polis disebabkan tiada dokumen atau pasport.

"Operasi yang bermula 3 pagi itu berakhir 5 pagi turut disertai anggota polis," katanya.

Radzi berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Beliau berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai dinasihatkan mengawasi anak masing-masing bagi mengelak mereka terjebak dengan kegiatan tidak bermoral ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini," katanya - Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda