Berita Semasa

Penduduk Kampung Jagung Kalabakan Bimbang Kemunculan Gajah Borneo

image

KALABAKAN: Jabatan Hidupan Liar (JHL) diminta segera menangani masalah kehadiran seekor Gajah Borneo yang dikesan di Kampung Jagung, di sini, sejak semalam.

Difahamkan haiwan liar itu bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain termasuk di Sungai Merotai.

Penduduk, Baharun Indarsaya, 68, sejak semalam, ada pekebun mendakwa buah kelapa sawit yang sudah dikumpul, hilang, dipercayai dimakan haiwan berkenaan.

Kelibat gajah yang didakwa berada di Kampung Jagung, diviralkan penduduk.

“Sepanjang lebih 60 tahun menetap di sini, belum pernah lagi terjadi kes serangan gajah terhadap penduduk.

“Namun, kerosakan tanaman  termasuk kelapa sawit muda dan pisang adalah perkara biasa berlaku sekiranya haiwan itu datang,” katanya kepada media, hari ini.

Baharun berharap, pihak berkuasa seperti Jabatan Hidupan Liar (JHL) mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah tersebut.

“Apa yang saya bimbang adalah penduduk mengambil tindakan sendiri termasuk membunuh haiwan berkenaan seperti yang berlaku di Felda Umas, tahun lalu.

“Justeru, saya berharap agar JHL mengambil tindakan segera seperti memindahkan haiwan itu ke lokasi lebih sesuai,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Adulkifli Stephan, 43, menjadi kebiasaan haiwan liar itu melalui kawasan perumahan mereka sebelum masuk ke kawasan kebun kelapa sawit berhampiran.

ADULKIFLI

“Sebelum ini, dua ekor Gajah Borneo dipercayai pasangan gajah betina dan anaknya beberapa kali melintasi kawasan perumahan kami.

“Namun, sejak semalam, penduduk kecoh apabila ada yang mendakwa terserempak dengan seekor gajah di kebun mereka,” katanya.

Terdahulu, wartawan yang membuat tinjauan di lokasi kejadian terserempak dengan kelibat haiwan itu sekitar jam 11.30 pagi, hari ini, di sebuah kebun, kira-kira 500 meter daripada rumah penduduk.

Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, gajah yang memiliki gading itu, dilihat berkeliaran di tebing Sungai Merotai sebelum hilang di sebalik tanaman tebu di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau Sailun Aris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.

“Sebelum ini, kami menerima aduan kehadiran Gajah Borneo di situ, sebelum kerja pengusiran dilakukan pada Khamis lalu.

“Ada kemungkinan haiwan itu kembali ke Kampung Jagung,” katanya.

Tambah Sailun, ketika ini, kakitangan JHL sedang melakukan kerjakawalan dan menangkap gajah dari spesis yang sama di Felda Umas.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda