Berita Semasa

Guandi hanya ingin cuba tutup malu presidennya: Jo-Anna

image

KOTA KINABALU: Kenyataan Setiausaha Agung Star Sabah, Guandi Kohoi kononnya presiden partinya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menerima jawatan Timbalan Menteri Pelancongan demi kepentingan Sabah hanyalah untuk menutup malu.

Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas menjelaskan Guandi cuba untuk menutup malu yang dialami oleh Dr Jeffrey setelah tidak mendapat tempat di mata para pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) selepas melompat menyertai perikatan tersebut untuk bersama-sama dengan Umno dan PAS.

“Saya rasa Guandi tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai pentadbiran di peringkat nasional; dia memberitahu kita bahawa Dr Jeffrey tidak perlukan jawatan Menteri penuh Persekutuan untuk memastikan nasib Sabah akan terpelihara.

“Untuk pengetahuan Guandi, Menteri penuh Persekutuan mempunyai kuasa yang besar dalam menentukan halatuju Malaysia khususnya Sabah dalam mesyuarat mingguan Kabinet yang mereka adakan.

“Dalam mesyuarat tersebut, Menteri penuh Persekutuan akan mempunyai peluang untuk membincangkan secara formal dan terbuka mengenai apa-apa isu termasuklah yang akan membabitkan masa depan Sabah,” kata Jo-Anna dalam kenyataannya hari ini.

Selain daripada itu, Menteri penuh Persekutuan juga mempunyai kuasa untuk menggubal dan melaksanakan polisi-polisi Kementerian yang seterusnya akan dibentangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat kabinet tersebut.

“Timbalan Menteri Persekutuan pula tidak mempunyai kuasa untuk menyertai mesyuarat tersebut mahupun dalam penggubalan sebarang polisi Kementerian.

“Maka saya tidak faham bagaimana nasib Sabah akan terjamin sepertimana yang dikatakan oleh Guandi apabila Dr Jeffrey bersetuju untuk menjadi Timbalan Menteri Perlancongan.

“Sebagai ahli politik senior dan presiden sebuah parti dari Sabah, dia sepatutnya berunding dengan pemimpin-pemimpin PN untuk mendapatkan jawatan Timbalan Menteri dalam Kementerian Dalam Negeri,” tegasnya.

Jo-Anna juga berpendapat bahawa sokongan rakyat Sabah yang semakin berkurangan terhadap Dr Jeffrey adalah disebabkan bahawa beliau tidak pernah menghormati perasaan penyokong serta pengundinya yang telah berhempas pulas mempertahankan segala ideologi politik beliau selama ini.

“Beberapa dekad yang lalu, Dr Jeffrey dengan penuh semangat telah mengatakan kepada orang-orang kampung bahawa segala kesusahan dan kemiskinan yang dialami oleh Sabah sekarang ini adalah disebabkan oleh Umno, BN dan Malaya.

“Dan beberapa isu yang tidak menyebelahi Umno dan BN Sabah seperti isu 1MDB dan Musa Aman yang dikaitkan dengan isu pemberian kewarganegaraan kepada 300,000 pendatang izin tanpa haram di Sabah sepertimana yang didedahkan oleh Dr Chong Eng Leong dalam bukunya ‘Lest We Forget’ dan prosiding RCI serta skandal balak Sabah mendapat perhatian serius pengundi-pengundi Sabah ketika itu.

“Maka bayangkanlah berapa puluh ribu rakyat Sabah di pedalaman yang telah termakan dengan hasutan beliau mengenai Malaya sehingga beliau menang di Parlimen Keningau dan DUN Bingkor pada PRU14 yang lalu,” katanya.

Jo-Anna yang juga adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata rata-rata penyokong dan pengundi sedar bahawa Dr Jeffrey dan Star ialah ‘underdog’ dan tidak mungkin menang pilihanraya ketika itu.

“Tetapi bagi mereka dan kita semua, maruah adalah lebih penting daripada tunduk kepada rejim Umno dan Malaya maka mereka mengharapkan agar Dr. Jeffrey dengan lantang sekali akan terus menentang ketidakadilan dan ketidaksaksamaan yang dialami oleh Sabah walaupun sebagai wakil rakyat pembangkang,” katanya.

Namun demikian, Jo-Anna berkata apabila keputusan PRU14 diumumkan, Dr Jeffrey dengan cepat sekali berpindah ke kem Tan Sri Musa Aman dalam usahanya untuk membantu bekas Ketua Menteri itu, Umno dan BN Sabah kekal berkuasa di negeri ini.

“Sehingga pada hari ini, beliau masih lagi mempertahankan bekas Ketua Menteri tersebut walaupun Musa telah beberapa kali menghina Dr Jeffrey di Dewan Undangan Negeri apabila dia cuba membawa isu MA63 pada masa itu.

“Maka di manakah maruah Dr Jeffrey sebagai pemimpin KDM disini? Kaum KDM sudah tahu bahawa Umno lah yang telah bertanggungjawab memecahkan kaum KDM di Sabah pada tahun 1994 tetapi mengapa Dr Jeffrey masih terhegeh-hegeh memberi sokongan kepada parti ini?

“Adakah kita mahu kaum KDM kekal lemah dan tidak bermaruah sehingga tidak ada kaum lagi yang akan mempercayai dengan kebolehan dan kekuatan kita sendiri kerana kita mudah diatur dan sering menjadi bahan jenaka?” soal Jo-Anna.

“Dan setelah bertahun-tahun memesongkan fikiran rakyat Sabah mengenai Malaya, akhirnya Dr Jeffrey terpaksa menjilat ludahnya sendiri apabila beliau menyertai kem Umno dan PAS dibawah payung Perikatan Nasional (PN) dan dengan mudah sekali beliau mengatakan bahawa dia melakukan kesemua itu untuk Sabah,” katanya.

“Apakah perasaan rakyat Sabah terutamanya mereka yang berada di pedalaman yang selama ini begitu percaya dengan kata-katanya sehingga sanggup berhempas-pulas dibawah terik matahari mempertahankan ideologi politik bohong beliau?” tanya beliau.

“Dan fikirkanlah, sehingga hari ini, Dr Jeffrey masih lagi menghasut rakyat Sabah demi agenda politik peribadinya sendiri dengan tuduhan-tuduhan liar apabila beliau mengatakan bahawa Warisan melindungi PTI di Sabah dan saya sangat hairan sekali apabila melihat bagaimana hasutan politiknya ini diterima dengan mudah oleh sesetengah rakyat Sabah,” tambahnya lagi.

Jo-Anna juga berpendapat bahawa Upko tidak membuat sebarang kesalahan untuk meninggalkan Umno dan BN Sabah dan seterusnya membentuk Kerajaan Warisan-Upko-PH selepas PRU14.

“Sebenarnya, ramai rakyat Sabah tidak tahu bahawa semasa pengiraan undi pada malam PRU14, undi kaum KDM terhadap Umno pada ketika itu menunjukkan pengurangan yang amat drastik sekali dimana beberapa pemimpin-pemimpin Umno kecundang ataupun hampir-hampir kecundang.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kaum KDM sebenarnya sudah amat marah dan muak dengan Kerajaan Sabah pimpinan Umno dan dimana-mana pun, samada melalui Facebook ataupun Whatsapp, anda akan melihat bagaimana marahnya kaum KDM terhadap Umno pada masa itu,” katanya.

“Maka anda akan bersetuju dengan saya bahawa kaum KDM benar-benar mengharapkan keajaiban ataupun hero akan datang pada malam PRU14 itu untuk akhirnya menamatkan riwayat Umno di Sabah.”-SabahNewsKini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda