Jenayah

11 KERETA SAPU DISITA, 34 DITAHAN : PKPB

image

LAHAD DATU: Polis menahan 34 individu serta menyita 11 kereta selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam operasi di Jalan Tengah Nipah, di sini, semalam.

Operasi yang bermula jam 7 pagi itu mendapati, kesemua kereta persendirian berkenaan digunakan sebagai kereta sapu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kesalahan utama yang dikesan adalah menaiki kenderaan persendirian (kereta sapu) yang mana pemandu dan penumpang tidak tinggal serumah.

Katanya, kesalahan melanggar Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020.

“Semua yang ditahan berusia 18 hingga 68 tahun itu juga boleh dihukum mengikut Peraturan 15(1) Peraturan yang sama.

“Daripada 34 yang ditahan, 17 individu adalah warga tempatan membabitkan 10 wanita dan tujuh lelaki dan mereka semua dikenakan kompaun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, manakala selebihnya warga asing membabitkan enam wanita dan 11 lelaki warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Katanya, 11 kenderaan yang disita turut disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Operasi ini membabitkan lapan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lahad Datu yang menjalankan tugas pemantauan OP Covid 19 (PKPB),” katanya.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda